KUALA LUMPUR – Kajian semula Perintah Gaji Minimum 2024 yang sedang dilaksanakan kerajaan penting untuk menilai sama ada kadar gaji semasa masih relevan dengan keadaan dan keperluan di negara ini.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata kajian itu penting memandangkan gaji perlu diselaraskan dengan realiti kos sara hidup semasa bagi menjamin kebajikan serta kehidupan yang bermaruah untuk pekerja dan keluarga.
“Isu gaji bukan sekadar angka pada penyata gaji tetapi kuasa beli untuk memenuhi keperluan asas keluarga yang lebih penting.
“Sebab itu, kadar gaji perlu dinilai semula dari semasa ke semasa mengikut perubahan kos sara hidup demi melindungi kebajikan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Shafie berkata pekerja menjadi tonggak utama kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.
Justeru, beliau berkata pekerja tidak harus berada dalam keadaan gaji hanya cukup untuk menampung keperluan asas sehingga tiada ruang kewangan untuk membuat simpanan, membiayai pendidikan anak dan menghadapi kecemasan.
“Kebajikan pekerja yang sebenar bukan tentang kemewahan tetapi kemampuan menjalani kehidupan yang wajar hasil titik peluh sendiri,” katanya.
Mohamed Shafie bagaimanapun berkata kajian semula itu tidak bermaksud gaji minimum akan dinaikkan secara automatik, sebaliknya memberikan peluang kepada kerajaan, majikan serta pekerja menilai kesesuaian kadar semasa secara adil dan saksama.
Beliau berkata UNI-MLC juga bersedia untuk bekerjasama bagi memastikan dasar gaji negara sentiasa responsif terhadap realiti ekonomi dan kehidupan pekerja.
— BERNAMA















