KUALA LUMPUR – MCA menggesa kerajaan mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara menyeluruh berbanding menggabungkan elemen GST ke dalam sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sedia ada.
Naib Presiden MCA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, langkah mewujudkan sistem hibrid SST-GST hanya akan menambah kerumitan serta kos kepada perniagaan dan pengguna, khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, pengenalan sistem baharu sebelum ini sudah menunjukkan kesannya apabila perniagaan perlu menaik taraf perisian, melatih pekerja dan membuat pelaburan dalam infrastruktur digital.
Kos tambahan ini akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui harga yang lebih tinggi.
Beliau berkata, sistem percukaian sepatutnya dipermudahkan, boleh dijangka dan telus, manakala pencampuran SST dengan mekanisme GST terpilih berpotensi menimbulkan kekeliruan berkaitan prosedur perakaunan, keperluan pematuhan serta tafsiran undang-undang.
“Jika kerajaan mengakui GST mempunyai kekuatan yang wajar dikekalkan, MCA berpandangan adalah lebih baik GST dikembalikan sepenuhnya daripada mewujudkan sistem hibrid,” katanya yang mengulas cadangan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memasukkan elemen GST ke dalam SST.
Menurutnya, kenyataan perdana menteri yang menggambarkan GST sebagai cukai ke atas “semua rakyat Malaysia” juga mengelirukan kerana GST pada asasnya adalah cukai yang berasaskan penggunaan, iaitu mereka yang berbelanja lebih akan membayar lebih.
Beliau berkata, MCA secara konsisten menyokong pengenalan semula GST yang ditambah baik kerana sistem itu lebih moden, telus dan cekap serta berupaya mengurangkan ketirisan.
Katanya, pandangan berkenaan turut dikongsi banyak persatuan perniagaan dan pihak berkepentingan yang telah dirujuk MCA sejak beberapa tahun lalu.
“Memorandum Bajet tahunan kami berulang kali menggesa pengembalian GST,” katanya.
Lawrence berkata jika Kerajaan Madani enggan menggunakan nama GST atas faktor politik, ia boleh dinamakan sebagai VAT, “Cukai Madani” atau apa sahaja nama yang dipilih kerana perkara paling penting adalah sistem percukaian itu sendiri.
“Apa yang Malaysia perlukan ialah sistem cukai penggunaan yang menyeluruh, cekap, telus dan mampan, disertai perlindungan mencukupi untuk golongan yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata GST yang direka dengan baik mampu meluaskan asas cukai, mengurangkan ketirisan, menyokong kestabilan ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu membuat pilihan yang jelas.
“Jika prinsip GST cukup baik untuk dimasukkan ke dalam SST, maka kembalikan GST dengan sewajarnya – ditambah baik, disasarkan dan disertai perlindungan mencukupi untuk rakyat.
“GST separuh, SST separuh dalam bentuk hibrid hanya akan membebankan perniagaan dan pengguna dengan mewujudkan lebih banyak,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















