KUALA LANGAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat positif untuk mempertimbangkan peluasan kemudahan Baucar Buku Madani kepada mahasiswa Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara.
Perkara itu dibangkitkan seorang mahasiswa Malaysia di Mesir yang mendakwa kemudahan berkenaan ketika ini lebih tertumpu kepada pelajar institusi pengajian tinggi di dalam negara.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata, beliau akan meneliti cadangan berkenaan dengan serius.
“Untuk yang luar negara, yang tepuk ini, sebab apa saya kata saya timbang. Tapi insya-Allah saya timbang dengan rasa simpati dan saya akan pandang serius,” katanya ketika sesi Temu Anwar sempena Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026, di sini, hari ini.
Anwar berkata, keputusan mengenai perkara itu mungkin diumumkan pada salah satu dari beberapa tarikh penting yang telah ditetapkan kerajaan, termasuk 30 Ogos, 16 September atau ketika pembentangan Belanjawan 2027.
Perkara itu menarik perhatian kerana ribuan mahasiswa Malaysia kini melanjutkan pengajian di Mesir, Jordan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara lain.
Sementara itu, katanya, isu kesihatan mental, autisme dan sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas akan diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2027.
Perdana Menteri berkata, isu kesihatan mental kini tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara sampingan kerana semakin banyak kes melibatkan golongan muda.
“Isu kesihatan mental antara perkara yang turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan persiapan Belanjawan negara.
“Isu kesihatan mental ini isu yang patut dipandang berat.
“Kerajaan akan berusaha menangani permasalahan kesihatan mental sedaya upaya, termasuk isu berkaitan autisme dan sokongan terhadap keluarga,” katanya.
Menurutnya, beban ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah kesihatan mental atau autisme bukan kecil, terutama apabila kemudahan sokongan dan pendidikan khas masih terbatas.
“Saya ingin tekankan keperluan mendidik masyarakat supaya tidak memandang rendah, menghina atau membuli individu kelainan upaya,” katanya.
Selain itu, katanya, pendidikan tidak sepatutnya hanya menekankan pencapaian akademik atau ritual agama, sebaliknya perlu membentuk manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan dan menghormati maruah orang lain.
“Kita kata kesedaran Islam lebih tebal, tapi kemanusiaannya lebih tipis. Mana ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















