KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju dilaporkan menarik balik permohonan kebenaran merancang bagi cadangan pembangunan pusat data di Kota Damansara susulan bantahan penduduk terhadap projek berkenaan.
Menyambut baik keputusan itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, penarikan balik permohonan tersebut membuktikan suara rakyat mampu menghasilkan tindakan apabila kebimbangan yang berasas dibawa kepada pihak berkuasa.
“Saya menyambut baik perkembangan ini. Ini membuktikan bahawa apabila rakyat menyuarakan kebimbangan yang berasas dan kita sebagai wakil rakyat membawa suara tersebut kepada pihak berkuasa, pandangan rakyat boleh menghasilkan tindakan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu beliau mengesahkan menerima makluman itu daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.
Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pendiriannya menolak cadangan pembangunan itu sejak 17 Julai lalu bukan kerana menentang pembangunan atau pelaburan, sebaliknya proses berkenaan tidak melibatkan sesi libat urus menyeluruh, khususnya dengan penduduk setempat.
Jelasnya, pembangunan berskala besar yang berpotensi memberi kesan kepada kehidupan penduduk perlu dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab dengan mengambil kira pandangan rakyat.
“Rakyat berhak didengar sebelum keputusan yang memberi kesan kepada kawasan tempat tinggal mereka dilaksanakan,” katanya.
Pada masa sama, Ramanan berkata, beliau mengambil maklum penjelasan pihak perunding bahawa penarikan balik permohonan itu bertujuan membolehkan pemaju menilai semula kebolehlaksanaan tapak serta komponen pembangunan supaya lebih ekonomik, mampan dan bersesuaian dengan pembangunan di kawasan sekitar.
Beliau menegaskan, pendiriannya kekal bahawa sebarang cadangan pembangunan di Sungai Buloh perlu melalui proses libat urus bersama penduduk dan semua pemegang taruh terlebih dahulu.
“Saya akan terus mengikuti perkembangan perkara ini dan memastikan kepentingan serta suara rakyat Kota Damansara terus dipertahankan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ramanan yang mana cadangan pembangunan pusat data di kawasan perumahan Kota Damansara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri susulan kebimbangan yang disuarakan penduduk setempat. -MalaysiaGazette
















