KUALA LUMPUR – Telur ayam yang merupakan makanan asas rakyat Malaysia didakwa semakin meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah, terutama golongan berpendapatan rendah.
Pemerhati politik, Azizi Safar, menerusi hantaran di media sosialnya mendakwa harga telur Gred A satu papan atau RM30 biji kini RM15.23.
Manakala harga telur Gred B pula antara RM14 hingga RM15 dan Gred C sebanyak RM12 hingga RM14.
Dakwa beliau, harga telur kini berbeza mengikut negeri dan jenis premis.

Bagi harga telur Gred D dan E pula sudah tiada lagi data purata kebangsaan yang konsisten buat masa ini.
“Realitinya, telur ayam yang dulunya dianggap ‘penyelamat’ dan sumber protein paling murah untuk rakyat marhaen, kini bukan lagi barangan yang boleh dipandang ringan.
“Apabila harga makanan paling asas ini pun terus melonjak, ia menjadi barometer jelas betapa beratnya beban perbelanjaan dapur yang perlu ditanggung oleh sesebuah isi rumah hari ini,” katanya.
Di akhir hantaran berkenaan, beliau secara sinis mempersoalkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan keadaan tersebut dengan berkata: “Bang Mad, macam mana ni? Nak kena pi India pulak ka?”. – MalaysiaGazette
















