Masoud Pezeshkian. foto AFP

 

TEHRAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan adalah lebih baik perang ditamatkan sekarang ketika Iran berada pada kedudukan “kuasa dan bermaruah”.

Pezeshkian berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung ke-31 Persatuan Islam Persatuan Perubatan Iran di Tehran, sambil menegaskan bahawa perang dengan Amerika Syarikat (AS) perlu ditamatkan pada satu ketika, menurut kenyataan yang disiarkan di laman web pejabatnya.

“Adalah lebih baik kita menamatkan perang hari ini ketika kita berada pada kedudukan kuasa dan bermaruah, dan seluruh dunia mengakui kemenangan kita serta menegaskan bahawa Amerika Syarikat, dengan melanggar semua peraturan (antarabangsa), telah menyerang sekolah, hospital dan infrastruktur kita, selain dibenci di seluruh dunia,” katanya.

Pezeshkian menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) damai yang ditandatangani antara Iran dan AS pada Jun sebagai sesuatu yang “bermaruah dan bernilai”.

Beliau juga menegaskan, tiada satu pun peruntukan dalam MoU itu menunjukkan Iran menyerah kalah, sebaliknya semua kewajipan terletak pada pihak satu lagi.

Menurutnya, pencapaian yang diperoleh sepanjang rundingan dengan AS merupakan satu “kejayaan besar” yang dipersetujui dengan “perpaduan dan solidariti” dalam Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, selain dipertahankan secara tegas oleh semua anggota majlis berkenaan.

Bagaimanapun, Presiden Iran itu menegaskan, bahawa negaranya tidak akan menyerah sekiranya diserang sekali lagi.

“Kami tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk pembulian dalam apa jua keadaan dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan. Kami akan menentang mereka sehingga nafas terakhir dan memberikan tindak balas yang menghancurkan,” katanya.

Beliau berkata, komander tentera dan angkatan bersenjata Iran berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan negara “dengan sepenuh hati dan tanpa mementingkan diri”.

Pada 18 Jun lalu, Iran dan AS menandatangani MoU berhubung usaha menamatkan perang di rantau itu dalam semua medan.

Berdasarkan MoU berkenaan, kedua-dua negara dijadual mengadakan rundingan dalam tempoh 60 hari yang berakhir pada Isnin bagi mencapai perjanjian muktamad.

Bagaimanapun, nasib rundingan tersebut masih belum jelas susulan peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara pada bulan lalu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here