Gambar hiasan

Oleh: Dr Salbiah Isa

PERNAHKAH kita mengambil masa beberapa saat untuk melihat warna air kencing sebelum menekan butang pam tandas?
Mungkin kedengaran agak pelik, tetapi pemerhatian mudah ini sebenarnya boleh memberikan petunjuk awal tentang keadaan tubuh. Air kencing bukan sekadar bahan buangan. Warna dan rupanya boleh berubah mengikut tahap hidrasi, makanan, ubat-ubatan dan, dalam keadaan tertentu, masalah kesihatan.

Secara normal, air kencing berwarna kuning pucat hingga kuning keemasan. Warnanya dipengaruhi pigmen semula jadi yang dikenali sebagai urochrome. Namun, apabila warnanya berubah secara ketara atau berterusan, tubuh mungkin sedang memberikan isyarat yang tidak sepatutnya kita abaikan.

Ramai menganggap semakin jernih air kencing, semakin sihat tubuh. Sebenarnya, air kencing yang terlalu jernih lazimnya berlaku apabila seseorang mengambil air dalam jumlah yang banyak sehingga air kencing menjadi sangat cair. Keadaan ini biasanya tidak membimbangkan. Namun, jika air kencing sentiasa jernih walaupun pengambilan air tidak berlebihan, terutama jika disertai rasa dahaga melampau dan kerap membuang air kecil, pemeriksaan doktor mungkin diperlukan.

Gejala sedemikian boleh dikaitkan dengan keadaan seperti diabetes mellitus atau diabetes insipidus. Air kencing kuning pekat sering menjadi tanda mudah bahawa tubuh kekurangan air. Ia boleh berlaku selepas bersenam, berada lama dalam cuaca panas, ketika demam atau apabila kita tidak minum secukupnya.

Namun, warna jingga tidak semestinya berpunca daripada dehidrasi. Sesetengah ubat dan suplemen vitamin juga boleh mengubah warna air kencing. Jika warna jingga berlaku bersama mata atau kulit yang kelihatan kekuningan, ia perlu diberi perhatian kerana mungkin berkaitan dengan masalah hati atau saluran hempedu. Air kencing merah sememangnya boleh mencetuskan kebimbangan kerana ia mungkin menunjukkan kehadiran darah atau hematuria.

Puncanya pelbagai, termasuk jangkitan saluran kencing, batu karang, penyakit buah pinggang, masalah prostat dan, dalam keadaan tertentu, kanser saluran kencing. Bagaimanapun, tidak semua air kencing merah bermaksud terdapat darah. Makanan
tertentu seperti ubi bit dan sesetengah pewarna makanan juga boleh menyebabkan perubahan warna sementara.

Perkara yang lebih penting ialah sama ada perubahan tersebut berterusan atau berulang. Air kencing merah yang tidak mempunyai sebab jelas, terutama jika disertai sakit ketika membuang air kecil, sakit pinggang atau demam, memerlukan pemeriksaan perubatan.

Air kencing berwarna coklat gelap boleh berlaku akibat dehidrasi yang teruk. Namun, ia juga boleh dikaitkan dengan masalah hati yang menyebabkan peningkatan bilirubin dalam air kencing. Dalam keadaan tertentu, kerosakan otot yang serius selepas kecederaan atau aktiviti fizikal terlalu berat boleh menyebabkan myoglobin dilepaskan ke dalam air kencing, lalu menghasilkan warna gelap seperti teh atau cola. Keadaan sedemikian tidak harus dipandang ringan kerana boleh menjejaskan fungsi buah pinggang.

Walaupun jarang, air kencing berwarna hijau atau biru boleh berlaku. Antara penyebabnya ialah ubat tertentu, pewarna makanan atau bahan pewarna yang digunakan dalam sesetengah prosedur perubatan. Dalam kes tertentu, jangkitan bakteria juga boleh menghasilkan perubahan warna. Jika ia berlaku tanpa sebab yang diketahui dan tidak kembali normal, dapatkan nasihat profesional kesihatan.

Air kencing keruh boleh dikaitkan dengan jangkitan saluran kencing, kristal atau batu karang. Jika kekeruhan disertai rasa pedih ketika membuang air kecil, kerap ke tandas atau demam, pemeriksaan adalah wajar. Air kencing yang berbuih sekali-sekala pula tidak semestinya menunjukkan penyakit.

Namun, buih yang ketara dan berlaku secara berterusan boleh menunjukkan kehadiran protein dalam air kencing. Ini penting terutama bagi mereka yang mempunyai diabetes, tekanan darah tinggi atau berisiko mengalami penyakit buah pinggang.

Bila perlu berjumpa doktor?
Jangan bergantung kepada warna air kencing semata-mata untuk membuat diagnosis. Sebaliknya, dapatkan pemeriksaan jika air kencing merah tanpa sebab yang jelas, berwarna coklat gelap atau perubahan warna berterusan. Lebih penting, jangan berlengah jika perubahan tersebut disertai demam, sakit pinggang, muntah, bengkak pada tubuh atau jumlah air kencing semakin berkurangan.

Memastikan pengambilan air yang mencukupi, mengamalkan pemakanan seimbang dan menggunakan ubat mengikut nasihat profesional kesihatan merupakan antara langkah asas menjaga kesihatan sistem urinari. Akhirnya, warna air kencing hanyalah petunjuk, bukannya diagnosis. Tetapi perubahan kecil yang kita perhatikan hari ini mungkin menjadi sebab kita mendapatkan pemeriksaan lebih awal.

Jadi, sebelum menekan pam tandas, luangkan beberapa saat untuk melihat. Tubuh kita sentiasa memberikan isyarat namun persoalannya, adakah kita memberi perhatian?

Penulis merupakan Pensyarah Perubatan (Chemical Pathology) di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here