SIMPANG AMPAT – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang pekerja telekomunikasi di sebuah menara telekomunikasi di Kampung Juru di sini, pada 16 Ogos lalu.
JKKP Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku pada 11 Julai lalu kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa dipercayai menjalankan kerja-kerja Corrective Maintenance di menara berkenaan.
“Susulan itu, siasatan awal telah dilakukan oleh JKKP Pulau Pinang pada 19 Ogos dan mendapati mangsa dipercayai telah melalui sebuah plinth menara telekomunikasi sebelum terjatuh ketika menuruni struktur berkenaan dari ketinggian lebih kurang 63 sentimeter.
“Berikutan itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan Surat Arahan kepada pihak berkaitan bagi mengemukakan dokumen dan maklumat berhubung kemalangan berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 15(1), Seksyen 17(1) dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, selain peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkaitan,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, pihaknya memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja dan menegaskan majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan serta kebajikan pekerja semasa bekerja.
“Majikan perlu bertanggungjawab memastikan tempat kerja serta akses keluar masuk ke kawasan kerja berada dalam keadaan selamat.
“Majikan juga perlu menjalankan pentaksiran risiko terhadap aktiviti kerja, memastikan laluan dan kawasan kerja disenggara dengan baik, bebas daripada halangan atau bahaya, serta menyediakan sistem kerja selamat dan langkah kawalan risiko yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















