PETALING JAYA – Hampir RM1 bilion pelaburan produksi direkodkan perfileman tempatan dalam tempoh tiga tahun menunjukkan industri semakin menunjukkan perkembangan positif.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah penonton karya tempatan juga meningkat lebih dua kali ganda pada 2025.
Ini menurut beliau membuktikan karya tempatan semakin mendapat kepercayaan penonton apabila kandungan yang dihasilkan berkualiti, kompetitif dan dekat dengan masyarakat.
“Jumlah penonton filem tempatan meningkat daripada 5.87 juta orang pada 2023 kepada 7.14 juta pada 2024 sebelum melonjak kepada 14.83 juta tahun lalu.
“Peningkatan ini membawa mesej yang jelas penonton Malaysia mempunyai keyakinan terhadap karya tempatan apabila kita menawarkan kandungan yang berkualiti, kompetitif dan dekat di hati mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Damansara Damai di sini hari ini.
Fahmi berkata, trend positif itu turut dapat dilihat menerusi prestasi kutipan filem di bawah Skim Wajib Tayang yang meningkat daripada RM125.28 juta pada 2024 kepada RM253.31 juta tahun lalu.
Bagi 2026 pula, sebanyak RM111.83 juta kutipan direkodkan setakat 10 Ogos lalu, manakala lima filem tempatan sudah melepasi kutipan RM10 juta setakat tahun ini.
Jelasnya, , kejayaan karya daripada genre berbeza seperti Blood Brothers: Bara Naga yang mengutip RM73.6 juta dan filem animasi Papa Zola The Movie dengan RM63.8 juta tahun lalu menunjukkan potensi besar kandungan tempatan untuk menarik khalayak.
Dalam masa sama, Fahmi berkata Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) merekodkan RM130.08 juta pada 2024, RM303.04 juta pada 2025 dan RM524.62 juta berdasarkan data semasa tahun ini.
“Secara keseluruhan, hampir RM958 juta pelaburan produksi serta 12,823 peluang pekerjaan telah direkodkan bagi tempoh 2024 hingga 2026,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM300 juta bagi meneruskan FIMI untuk tempoh lima tahun, manakala penyertaan pertama Malaysia di Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026 menghasilkan nilai pelaburan RM249.2 juta.
Fahmi berkata, pencapaian itu menguatkan lagi usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan animasi pilihan dengan sokongan kemudahan bertaraf dunia, insentif kompetitif serta kerjasama produksi antarabangsa.
Pada masa sama, beliau berkata Dasar Filem Negara 2026-2035 memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem kandungan filem, televisyen dan platform OTT, selain memperkasa kerjaya penggiat industri serta perlindungan hak cipta dan harta intelek.
Menurutnya, pembangunan industri tidak boleh hanya diukur melalui jumlah kutipan, sebaliknya perlu melihat sejauh mana bakat baharu dapat berkembang, karya berjaya disiapkan dan kandungan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Fahmi turut menetapkan tiga keutamaan kepada FINAS, iaitu mempercepat dan memudahkan urusan pelesenan serta dana, memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Menara FINAS dan Kompleks Studio Merdeka.
Ini selain membangunkan ekosistem mampan yang mampu menyokong pawagam, televisyen dan platform OTT.
Menara FINAS yang dibangunkan di tapak seluas 5.14 ekar itu kini menempatkan pelbagai kemudahan termasuk dua studio sound stage, Pawagam Digital P. Ramlee, Mediatheque, Museum of Moving Image dan Film Vault yang menyimpan 81,770 bahan arkib audiovisual. -MalaysiaGazette
















