MELAKA – Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat berhasrat mengadakan konsert di Melaka sebagai hadiah istimewa kepada negeri kelahirannya serta para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, cadangan itu masih dalam peringkat awal dan perlu dibincangkan bersama suaminya, Nabil Mahir, sebelum sebarang perancangan lanjut dilakukan.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki, mengapa tidak kita buat konsert di Melaka? Mungkin konsert anak-anak Melaka dan nanti kita cuba usulkan.
“Saya perlu berbincang dengan suami terlebih dahulu. Kalau kita buat, sudah tentu kita mahu memberikan yang terbaik dan memerlukan persediaan rapi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Menurut Ayda, penganugerahan tersebut bagaikan mimpi kerana dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk menerima pengiktirafan ketika mula menari dan menyanyi bagi mewakili Melaka suatu ketika dahulu.
“Ketika mula menari dan menyanyi untuk negeri Melaka, saya tidak pernah menyimpan niat bahawa suatu hari nanti akan menerima pengiktirafan daripada kerajaan negeri.
“Saya hanya melakukannya dengan ikhlas. Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas penghargaan ini dan akan cuba sebaik mungkin untuk terus mengharumkan nama Melaka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayda turut merancang mengetengahkan lebih banyak lokasi menarik di Melaka menerusi penghasilan karya seni dan penggambaran video muzik pada masa akan datang.
Katanya, video muzik lagu Pencuri Hati versi dangdut yang menjalani penggambaran di kawasan Bangunan Merah sebelum ini berjaya meraih lebih 20 juta tontonan di YouTube.
“Lagu itu antara video muzik saya yang mencatat jumlah tontonan paling tinggi. Saya bangga kerana negeri Melaka turut ditonjolkan di dalamnya.
“Insya-Allah, mungkin selepas ini ada lagi lagu yang akan menjalani penggambaran di tempat-tempat menarik di Melaka kerana negeri ini mempunyai banyak lokasi yang boleh diterokai,” katanya. – MalaysiaGazette
















