KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) ditubuhkan bagi menyiasat semula isu pengurusan institusi berkenaan.
Menurutnya, rakyat juga mahu mengetahui status pemindahan aset tabung haji kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 1.0 dahulu.
Dakwanya, aset TH yang telah dipindahkan kepada UJSB bernilai RM9 billion ketika itu dan UJSB dikatakan membeli dengan harga RM19 billion melalui terbitan sukuk.
“Dan berapa jumlah tunai yang telah Tabung Haji terima sehingga hari ini? Adakah hanya kertas hutang yang dipanjangkan tempohnya sahaja?” soalnya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Hantaran Dr Muhamad Akmal itu bagi menjawab kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang mempersoalkan kewajaran desakan supaya RCI baharu ditubuhkan berhubung kemelut yang melanda TH.
Muhammad Kamil seperti dilaporkan media berkata, laporan RCI bukan alat untuk mencari keputusan yang memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya diwujudkan untuk mencari kebenaran berdasarkan fakta, dokumen dan keterangan.
Kenyataan beliau itu susulan desakan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan UMNO supaya RCI baharu ditubuhkan bagi menyiasat semula isu pengurusan institusi berkenaan.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal turut merujuk kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang merupakan pemimpin PKR sendiri yang turut menuntut penjelasan mengenai situasi melibatkan UJSB.
“Kalau nak dedah, kita dedah sepenuhnya bukan separuh-separuh sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette
















