KUALA LUMPUR – Penawaran buruh kekal kukuh pada suku tahun kedua (ST2) 2026 berbanding suku yang sama tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 1.0 peratus tahun ke tahun merekodkan 17.28 juta orang.
Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus pada tempoh tersebut, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bilangan penduduk bekerja terus bertambah sebanyak 1.1 peratus kepada 16.77 juta orang, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat
kepada 68.9 peratus.
Pada masa yang sama, bilangan penganggur menurun sebanyak 1.6 peratus (-8,100) kepada 509,700 orang dengan kadar pengangguran kekal 3.0 peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu terus menurun sebanyak 4.8 peratus daripada ST2 2025 kepada 230,000 orang.
Kadar guna tenaga berkaitan masa menurun kepada 0.7 peratus.
Sementara itu, guna tenaga berkaitan kemahiran, yang merangkumi lebih daripada satu pertiga daripada penduduk bekerja dengan pendidikan tertiari juga menurun sebanyak 0.5 mata peratus kepada 35.2 peratus pada ST2 2026.
Melihat kepada permintaan buruh dalam sektor ekonomi, bilangan jawatan meningkat sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun untuk mencatatkan sejumlah
9.25 juta jawatan.
Jawatan diisi yang merangkumi 97.9 peratus juga meningkat sebanyak 1.7 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya kepada 9.05 juta.
Sementara itu, peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi yang ditunjukkan oleh bilangan kekosongan jawatan meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 195,700 pada ST2 2026.
Di samping itu, bilangan pewujudan jawatan dalam sektor ekonomi menurun 1.2 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan 31,500 ribu jawatan.
Menurut jabatan itu, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6.0 peratus seiring dengan guna tenaga yang mengekalkan pertumbuhanya, produktiviti buruh yang diukur dengan nilai ditambah per pekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 4.9 peratus merekodkan RM26,595 per pekerja pada ST2 2026.
Pada tempoh yang sama, jumlah jam bekerja meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada 9.58 bilion jam.
Justeru, produktiviti buruh per jam bekerja juga meningkat 5.5 peratus untuk merekodkan nilai produktiviti kepada RM46.5 per jam. – MalaysiaGazette
















