KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, tiada kebarangkalian bahawa bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berisiko melarikan diri yang mewajarkan pasportnya ditahan sebagai syarat jaminan berkaitan pertuduhan jenayah yang dihadapinya.
Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili pasukan pembelaan berhujah, bekas menteri Kabinet itu tiada kecenderungan melarikan diri kerana masih berstatus ahli Parlimen yang memerlukan beliau kerap menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Menurutnya, selaku pengerusi beberapa pertubuhan termasuk Yayasan Seniman India, anak guamnya kerap ke luar negara kerana memenuhi jemputan majlis peringkat antarabangsa selain menerima rawatan berkala di sebuah hospital di Chennai, India.
Ujar peguam, selain itu, tiada laporan polis yang menunjukkan Timbalan Presiden MIC itu mengganggu mangsa atau saksi-saksi pendakwaan.
“Hujahan pihak pendakwaan bahawa tertuduh berisiko melarikan diri dan mengganggu saksi-saksi pendakwaan, hanya spekulasi semata-mata.
“Kami memohon pasport anak guam tidak ditahan di mahkamah bagi membolehkannya melakukan perjalanan ke luar negara tanpa mengemukakan permohonan (mendapatkan pasport) secara berulang,” ujarnya yang turut hadir bersama-sama peguam Lavinia Raja dan Jeremiah Anand.

Terdahulu, Saravanan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah RM1.097 juta bagi kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Ketika berhujah mengenai jumlah jaminan, peguam berkata, ia hanya bagi memastikan kehadiran ke mahkamah dan jumlah RM300,000 yang dicadangkan pembelaan, adalah memadai.
“Fakta bahawa beliau mempunyai kedudukan tinggi, tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk mengenakan jaminan yang tinggi terhadapnya.
“Fakta bahawa kes ini mendapat liputan media yang luas juga bukanlah satu alasan untuk jumlah jaminan yang tinggi dikenakan,” ujarnya.
Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, Julaila Jamaluddin dan P. Rubini.
Sewaktu berhujah bagi ikat jamin, Julaila berkata, jumlah RM800,000 yang dipohon munasabah kerana kesalahan yang didakwa dilakukan adalah serius.
Menurut beliau, mahkamah perlu mempertimbang bahawa Saravanan mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat dan pertuduhan di mahkamah mendapat liputan meluas pihak media.
“Jumlah jaminan yang dikenakan perlu mencerminkan tahap keseriusan kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya,” ujar beliau.
Julaila selanjutnya berkata, dengan mengambil kira faktor keseriusan kesalahan yang didakwa dilakukan ditambah pula dengan statusnya sebagai ahli politik berpengaruh, tertuduh berisiko melarikan diri, mengganggu serta mempengaruhi saksi-saksi pendakwaan yang mewajarkan syarat jaminan yang ketat dikenakan terhadapnya.
Pada akhir prosiding, Azura membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 29 September ini bagi sebutan kes.
Mahkamah turut memerintahkan syarat tambahan dipatuhi oleh tertuduh iaitu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan setiap tiga bulan sekali dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau menerusi pihak ketiga. – MalaysiaGazette
















