KUALA LUMPUR – Empangan Sungai Pagar di Labuan kini berada pada tahap kritikal manakala sembilan lagi empangan pada tahap amaran dan dua waspada.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, dua empangan yang berada pada tahap waspada ialah Empangan Jus, Melaka dan Empangan Labong, Johor.
Sembilan empangan pada tahap amaran pula adalah Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah; Empangan Upper Layang, Empangan Lower Layang, Empangan Lebam, Empangan Gunung Pulai 1, Empangan Gunung Pulai 2 dan Empangan Pontian Kechil di Johor serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.
“Empangan Timah Tasoh, yang sebelum ini telah lama berada pada tahap kritikal, kini menunjukkan peningkatan ke tahap amaran susulan sedikit hujan yang diterima serta pelaksanaan pengepaman air dari kolam ke empangan, yang telah membantu meningkatkan isipadu simpanan air,” kata SPAN dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, berdasarkan pemantauan semasa, sebanyak 37 empangan daripada keseluruhan 49 empangan utama yang membekalkan sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) berada pada tahap normal.
Suruhanjaya itu menambah, War Room SPAN sentiasa memantau status sumber air mentah dan operasi perkhidmatan bekalan air di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan bagi memastikan kesinambungan bekalan air kepada pengguna terus terjamin, khususnya dalam menghadapi fenomena El Nino.
Menurutnya, SPAN bersama Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kecemasan dan Kesediaan Risiko bersama semua Operator Bekalan Air terlibat pada 26 Ogos 2026 bagi meneliti situasi semasa sumber air mentah, selain memperkukuh penyelarasan tindakan kesiapsiagaan serta langkah mitigasi terutamanya bagi empangan yang menunjukkan trend penyusutan atau berada pada tahap waspada, amaran dan kritikal.
“Antara langkah yang diberi perhatian adalah mengoptimakan penggunaan sumber air mentah, koordinasi pengoperasian empangan dan LRA, pengaktifan sumber alternatif bergantung kepada keperluan, pemantauan permintaan bekalan air di kawasan berisiko serta pelaksanaan bekalan air berjadual
sekiranya keadaan sumber air mentah terus merosot,” katanya.
Jelas SPAN, dalam keadaan yang lebih kritikal, sekatan atau pengurangan bekalan air kepada pengguna boleh dipertimbangkan sebagai langkah mengurus permintaan tertakluk kepada keperluan atau situasi semasa atas kelulusan menteri.
Ia selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa. Langkah tersebut hanya akan dipertimbangkan apabila tindakan mitigasi dan pengurusan sumber yang lain tidak lagi mencukupi bagi memastikan tempoh ketahanan sumber air mentah dapat dipanjangkan.
Dalam menghadapi kemungkinan fenomena El Nino, SPAN akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penilaian risiko berdasarkan keadaan cuaca, trend paras empangan, ketersediaan sumber air mentah serta keupayaan operasi sesebuah LRA.
Segala tindakan mitigasi akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keadaan dan tahap risiko di setiap kawasan, katanya.
Secara keseluruhannya, ujarnya, kesemua LRA yang dipantau masih beroperasi secara normal walaupun begitu, SPAN tidak menolak sebarang risiko gangguan bekalan air sekiranya paras empangan terus menunjukkan trend penurunan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette
















