SEBERANG JAYA – Surat bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berhubung dakwaan mengaitkannya dengan isu pengambilan pekerja asing akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk penelitian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, beliau masih menunggu surat daripada Timbalan Presiden MIC itu dan akan merujuknya kepada pihak berkaitan sebaik surat berkenaan diterima.
“Surat itu biasa, saya tunggu surat itu dan biila sampai kepada saya, bukan urusan saya.
“Saya akan rujuk kepada SPRM ataupun Jabatan Peguam Negara dan minta diberi ruang untuk mengkaji keadaan supaya siasatan dapat diteruskan dan proses berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang di sini, hari ini.
Anwar berkata, proses sewajarnya perlu diberi ruang untuk berjalan, termasuk siasatan dan pendakwaan yang sedang berlangsung.
“Sebarang kesimpulan tidak wajar dibuat sebelum perkara berkenaan diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Terdahulu, bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM1.097 juta bagi kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Timbalan Presiden MIC itu memohon dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Azura membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 29 September ini bagi sebutan kes. – MalaysiaGazette
















