BATU KAWAN – Pulau Pinang bukan sekadar menjadi tuan rumah Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 (MYJAM15) malah negeri itu mempunyai kedudukan istimewa sebagai antara lokasi terawal perkembangan gerakan pengakap di negara ini.
Benih pergerakan Pengakap di Pulau Pinang direkodkan bermula seawal 1908 sebelum negeri itu sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi lokasi penganjuran Jambori Malaya pertama di Padang Sasar (Rifle Range) pada 1927.
Ketua Pengakap Negara, Datuk Prof Dr. Mohd Zin Bidin berkata, penganjuran lebih bermakna, MYJAM15 turut meraikan Jubli Intan 60 tahun Jambori Pengakap Malaysia pertama yang berlangsung di Pulau Pinang pada 1966.
“Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah MYJAM15 sekali gus dilihat sebagai penghormatan terhadap sejarah panjang dan sumbangan negeri itu dalam membangunkan gerakan Pengakap di Malaysia,” katanya.
MYJAM15 membawa tema Menjejak Warisan, Membina Masa Depan (Tracing the Legacy, Shaping the Future) dengan subtema 60 Tahun Menyatukan Semangat Kepengakapan.
Tema berkenaan mencerminkan kesinambungan legasi gerakan Pengakap daripada generasi terdahulu kepada generasi masa kini dan akan datang.
“Jubli Intan itu bukan sekadar meraikan sejarah, malah menjadi simbol ketahanan, kematangan, kesinambungan dan kecemerlangan gerakan Pengakap di Malaysia.
“Sepanjang perjalanannya, gerakan Pengakap telah melahirkan ramai pemimpin, menyatukan pelbagai generasi serta terus memainkan peranan dalam membentuk golongan muda yang berakhlak, berdisiplin dan bertanggungjawab,” kata Mohd Zin ketika berucap hari ini.
MYJAM15 kali ini turut memperlihatkan semangat kepengakapan yang merentasi sempadan apabila menghimpunkan 6,884 peserta dari 15 negeri di seluruh Malaysia serta 535 peserta antarabangsa dari 11 negara.
Tambahnya, perhimpunan itu bukan sekadar perkhemahan, sebaliknya menjadi medan untuk peserta membina persahabatan, bertukar pengalaman dan kemahiran serta memahami budaya dan latar belakang antara satu sama lain.
“Semangat bertukar lencana, menyertai aktiviti bersama dan berkongsi pengalaman kepengakapan menjadi antara elemen yang menghidupkan semangat jambori sekali gus merapatkan jurang perbezaan dan membina persaudaraan sejagat.
“Peserta turut diingatkan supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang jambori dengan menimba ilmu, menjaga disiplin, mematuhi peraturan keselamatan, menghargai alam sekitar dan berkongsi kemahiran,” ujarnya.
Semangat yang tercetus sepanjang MYJAM15 juga diharap tidak berakhir apabila perkhemahan melabuhkan tirai, sebaliknya diteruskan menerusi khidmat kepada masyarakat dan usaha membentuk masa depan yang lebih baik. – MalaysiaGazette
















