SEBERANG JAYA – Kerajaan memberi ruang luas kepada golongan agamawan untuk bersama-sama memperkasa umat Islam menerusi program dakwah, pendidikan dan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pendekatan terbuka itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan usaha meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam dapat dilaksanakan secara berkesan, termasuk hingga ke peringkat akar umbi.
“Tak banyak negara di dunia termasuk negara Arab atau negara Islam di mana kerajaan secara terbuka menganjurkan majlis-majlis, mengangkat martabat umat, baik program ekonomi, program pendidikan dan juga program dakwah yang berkesan.
“Jadi manfaatkanlah sepenuhnya kebebasan yang ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tadabur Mushaf Malaysia Madani dan Ma’Idah Wanita Madani Peringkat Nasional di Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Anwar berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuk membawa guru agama ke rumah bagi membantu kanak-kanak yang masih belum mampu membaca al-Quran pada peringkat asas.
Katanya, pendekatan itu penting kerana pengajaran al-Quran tidak seharusnya terhad kepada kemampuan membaca, sebaliknya turut merangkumi kefahaman terhadap kandungannya.
Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam usaha menyebarkan al-Quran ke peringkat antarabangsa, termasuk melalui Yayasan Restu yang menyediakan al-Quran bersama terjemahan dalam pelbagai bahasa.
“Kita merupakan di antara mungkin nombor dua di dunia dari sudut percetakan al-Quran.
“Tapi sekarang dah cetak, edar, edar tak? Tapi kefahaman, maka kita tekankan benda ini tentang tadabbur al-Quran,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan tambahan peruntukan RM4.6 juta bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf 27 institusi pendidikan Islam di Pulau Pinang tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan antara lain membabitkan kerja menaik taraf tembok pagar, madrasah, sekolah, bangunan baharu tadika dan akademi tahfiz.
“Tahun lalu di Pulau Pinang kita tambah RM2 juta lebih. Tahun ini saya nak umumkan kita bagi RM4.6 juta untuk sekolah-sekolah agama rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















