Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Tragedi banjir puing yang melanda Nepal baru-baru ini serta beberapa kejadian kegagalan empangan dan infrastruktur air di negara lain perlu menjadi peringatan kepada Malaysia tentang pentingnya aspek keselamatan empangan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejadian di Nepal yang berpunca daripada keruntuhan glasier dan aliran puing sehingga mencetuskan banjir besar menunjukkan bahawa perubahan persekitaran dan kejadian ekstrem boleh berlaku secara pantas serta membawa kesan yang sangat dahsyat.

Sehubungan itu, katanya yang juga Timbalan Presiden Pas, Malaysia tidak harus menunggu sehingga berlakunya tragedi banjir besar seperti di Nepal.

“Salah satu aspek yang perlu dipantau ialah keselamatan empangan negara. Ia perlu diperkukuhkan dan diberi perhatian secara dekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Tambahnya, tidak dinafikan kerajaan telah mempunyai pasukan Flying Squad bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan keselamatan empangan dengan penglibatan pelbagai agensi teknikal.

Ujarnya, kerajaan juga sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk memperkukuh struktur Flying Squad yang bersifat ad hoc kepada sebuah struktur tetap melalui penubuhan Dam Technical Centre (DTC).

Namun, katanya, beliau berpandangan sudah tiba masanya kerajaan melangkah lebih jauh dengan mempertimbangkan penubuhan sebuah Jabatan Keselamatan Empangan yang khusus dan mempunyai bidang kuasa, kepakaran, tenaga kerja serta peruntukan kewangan yang mencukupi.

“Keselamatan empangan tidak boleh bergantung semata-mata kepada mekanisme ad hoc kerana sebarang kegagalan struktur boleh membawa risiko besar terhadap nyawa, harta benda, alam sekitar dan infrastruktur negara,” katanya.

Tambah beliau, keperluan itu semakin mendesak mengambil kira faktor usia sesetengah empangan di negara ini.

Ujarnya, kerajaan sendiri sebelum ini memberikan perhatian terhadap pemeriksaan empangan yang berusia lebih 50 tahun.

Empangan Chenderoh di Perak misalnya, jelas beliau, telah beroperasi sejak tahun 1930 dan merupakan empangan hidroelektrik tertua yang masih beroperasi di Malaysia.

“Malaysia sebenarnya telah mempunyai Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS) sejak tahun 2017 sebagai garis panduan pengurusan keselamatan empangan.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah pengukuhan aspek pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara lebih bersepadu, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan peningkatan kejadian cuaca ekstrem,” katanya.

Tambahnya, beberapa kejadian terdahulu yang melibatkan kerosakan atau kegagalan struktur berkaitan empangan perlu dianggap sebagai amaran awal.

Jelasnya, kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda sebelum mengambil tindakan.

Dalam soal keselamatan rakyat, ujar beliau, pencegahan dan kesiapsiagaan mestilah menjadi keutamaan.

“Pada masa yang sama, status keselamatan empangan perlu dimaklumkan kepada rakyat secara berkala berdasarkan penilaian pihak berkuasa dan pakar yang berautoriti.

“Ketelusan maklumat penting untuk membina keyakinan masyarakat, di samping mengelakkan penyebaran atau manipulasi maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan dan kepanikan,” katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menggesa Kerajaan Persekutuan menimbang secara teliti cadangan ini memandangkan perubahan iklim yang tidak menentu meletakkan risiko besar kepada keselamatan rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here