KUALA LUMPUR – Gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 pada kedalaman 10 kilometer yang berlaku di daerah Keningau, Sabah pada jam 9.31 pagi tadi merupakan sebahagian daripada pelepasan tenaga tektonik tempatan di rantau berkenaan.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, berdasarkan analisis teknikal seismologi yang dikemas kini, pusat gempa bumi tersebut terletak pada koordinat 5.3° Utara dan 116.11° Timur, iaitu kira-kira 10 km di barat Keningau, Sabah.
Tambahnya, gegaran akibat gempa bumi tersebut dirasai secara nyata oleh penduduk di sekitar daerah Keningau.
Sehingga jam 11.30 pagi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerima sebanyak 463 laporan gegaran dirasai daripada orang awam berhampiran.
“MET Malaysia akan terus memantau rapi sebarang aktiviti gempa susulan di kawasan tersebut serta komited untuk menyampaikan maklumat perkembangan terkini secara telus dari semasa ke semasa.
“Kementerian turut menasihatkan orang ramai agar tidak berasa bimbang atau panik kerana gempa bumi yang dicatatkan ini berada pada paras bermagnitud lemah dan tidak menimbulkan ancaman tsunami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, rekod pemantauan analisis seismik menunjukkan Keningau pernah mencatatkan beberapa siri gempa bumi lemah sebelum ini, termasuk kejadian pada tahun 2019, 2023 dan pada 6 Oktober 2024. -MalaysiaGazette
















