Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SHAH ALAM – Lapan termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki dalam pergaduhan di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah 25 Ogos lalu.

Tertuduh adalah, Thivagar a/l Kumar (29); Shaik Hasanudin Ahlauwudin (26); Sheik Mauludin Ahlauwudin (24); Puwaneswaran a/l M. Mohana Krishnan (39); Darvin Raj a/l Rames (23); Harikrisnan a/l Selvar Raja (42); Rhubban a/l Annavi (37) dan Soulami Ahimsha (46).

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama lapan individu lain yang masih bebas didakwa menjadi ahli perhimpunan menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama melakukan bunuh hingga menyebabkan kematian terhadap Ganesan, 23, pada kira-kira jam 1.59 petang, 25 Ogos lalu.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin.

Dalam masa yang sama, mahkamah menetapkan 13 Oktober 2026 bagi laporan forensik, posmoterm dan kimia dikemukakan kepada mahkamah.

Terdahulu, pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Cynthia Noor Haizean Sulaiman.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni.

Tertuduh, Thivagar diwakili  peguamnya, Navin manakala Shaik Hasanudin dan Sheik Mauludin diwakili Nur Aida Md Zainuddin.

Sebagai rekod, dalam kejadian pada 25 Ogos lalu, seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah Perodua Alza ketika pergaduhan sekumpulan lelaki di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah.

Rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki keluar dari sebuah kereta sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.

Seorang lagi lelaki turut ditetak dalam kejadian itu sebelum kumpulan terbabit beredar dari lokasi.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here