KUANTAN – Seorang penghantar barang sebuah syarikat kurier didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini kerana menipu pembelian dengan menunjukkan QR transaksi tidak wujud.
Tertuduh, Mohammad Ruzaini Ruzi, 26, bagaimanapun tidak mengaku bersalah di atas enam pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ellyana Othman.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menipu kakitangan sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Ubi dengan menunjukkan transaksi pembayaran QR berjumlah keseluruhan RM356.50 yang tidak sepadan dengan transaksi jualan harian di kedai bagi pembelian rokok, minuman dan makanan ringan di stesen minyak terbabit, yang mana kakitangan itu tidak akan memberikan barangan jualan tersebut sekiranya tidak diperdaya sedemikian.
Mohammad Ruzain didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 Januari, 20 Januari, 22 Januari, 23 Januari dan 3 Februari tahun ini.
Bagi kesemua kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, B. Deevagaran Naidu dan Danial Wafi Mohd, manakala tertuduh diwakili Peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.
Majistret membenarkan wang jaminan sejumlah RM12,000 terhadapnya dengan penjamin bagi kesemua pertuduhan itu dan menetapkan tarikh 25 September depan bagi tujuan serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















