PENGKALAN CHEPA – Pas tidak lagi mahu menyerahkan kerusi yang berpotensi dimenangi kepada parti lain pada pilihan raya akan datang.
Lantaran itu, Pas akan mengenal pasti kawasan yang benar-benar mempunyai peluang kemenangan atau ‘winable constituency’, kata Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kerusi yang mempunyai potensi untuk dimenangi Pas tidak dilepaskan begitu sahaja kepada pihak lain.
“Kita akan tentukan kerusi mana yang patut, yang boleh dimenangi oleh Pas. Kita jangan lepas dah kerusi itu kepada siapa-siapa pun,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.
Menurut beliau, Pas juga perlu berhenti berasa rendah diri ketika berunding dengan parti lain khususnya apabila parti itu mempunyai sejarah dan kekuatan yang lebih lama.
Sanusi berkata, tidak wajar sekiranya ahli dan jentera Pas bekerja keras membantu parti lain dalam pilihan raya, namun akhirnya calon yang diketengahkan adalah daripada parti berkenaan manakala, Pas hanya berperanan sebagai jentera pilihan raya.
“Orang kita pergi dekat dia, kita seronok. Lepas itu parti dia besar, parti kita kecil. Dia jadi calon, kita jadi jentera. Mampus lagu tu! Cakap berterus-terang. Jangan sembunyi-sembunyi,” ujarnya yang kemudian mendapat sorakan para perwakilan.
Beliau berkata, Pas kini sudah menjadi sebuah parti besar dan tidak seharusnya terlalu takut atau tunduk kepada parti yang lebih kecil atau baharu.
“Pas ni dah jadi parti gajah dah. Tiba-tiba lalu kucing bawa anak dua tiga ekor, ni dia takut. Jangan duduk ikut kucing tu, dia pun baru nak hidup saja. Dia baru tubuh parti dua hari, lepas itu mai duduk ajak kita. Lepas itu kita turut dia, tak betul tu,” tambahnya.
Menurut Sanusi lagi, Pas perlu lebih yakin dengan kekuatan sendiri ketika membuat keputusan berkaitan pilihan raya termasuk dalam soal pembahagian kerusi.
Katanya, parti itu sudah terlalu lama berdepan keadaan apabila kekuatan dan sokongan yang dimiliki tidak diterjemahkan sepenuhnya kepada penguasaan politik.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, Pas juga perlu meningkatkan keupayaan untuk bekerjasama dengan jentera parti lain menjelang pilihan raya akan datang.
“Lepas ini kita nak bekerja dengan parti lain. Di Johor tak boleh masuk langsung. Di Negeri Sembilan boleh masuk sikit-sikit. Di Melaka, insya Allah kita akan belajarlah bekerja dalam pilihan raya bersama dengan jentera parti lain,” katanya.
Beliau berseloroh, masalah Pas sebelum ini bukan kerana parti itu tidak mampu bekerjasama dengan jentera parti lain, tetapi kerana terdapat parti lain yang tidak mempunyai jentera.
Sanusi berkata, Pas perlu mempelajari cara bekerja bersama jentera parti lain tanpa mengorbankan budaya, pendekatan dan kekuatan parti itu sendiri. – MalaysiaGazette
















