MELAKA – Sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka mencapai matlamatnya apabila berjaya mencetuskan inspirasi dan semangat baharu dalam kalangan generasi muda yang sedang membina kerjaya.
Sesi selama hampir dua jam itu memberi banyak manfaat terutama kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan kemahiran yang sedang mencari pekerjaan berhubung dunia pekerjaan sebenar di Melaka.
Beberapa golongan muda yang ditemui memberitahu, sesi berkenaan membuka minda mereka dalam dunia kerjaya sebenar di negeri Melaka yang selama ini kurang diberi pendedahan.

Seorang belia dari Gadek, Alor Gajah, di sini, S. Ravinaz berkata, golongan muda perlu menyahut cabaran yang dilontarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membangunkan negeri itu melalui bidang yang diceburi.
“Ketua Menteri banyak memberi penekanan terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mempunyai masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Dia ditemui selepas sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka yang anjuran Kerajaan negeri Melaka dan MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hampir 1,000 anak muda Melaka termasuk bekas pelajar dan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta hadir pada sesi berkenaan yang julung kali diadakan itu.

Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA), Muhammad Nur Iman Harizam, 23, berkata, sesi itu membuka ruang kepada golongan muda untuk terus menyuarakan hasrat terpendam berhubung halatuju masa depan mereka.
“Ini peluang terbaik kami bertanya dan mendapat jawapan terus daripada Ketua Menteri sendiri,” ujarnya yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.

Menurut seorang belia, Haris Daniel Helmy, 28, pula, kerajaan negeri mempunyai pelbagai visi dalan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyatnya terutama dalam sektor perindustrian.
“Kini terpulang kepada anak-anak muda untuk menyahut cabaran terhadap peluang yang disediakan kerajaan negeri itu,” jelasnya.

Pandangan sama turut diberikan seorang pekerja swasta, Nur Qistina Amir Hamzah, 30, yang mengajak anak-anak muda Melaka menanam azam untuk terus berusaha memajukan ekonomi Melaka dalam apa juga bidang diceburi.
“Menerusi program townhall ini, golongan muda akan memahami inspirasi kerajaan negeri dan kerajaan negeri pula memahami kehendak anak muda,” jelasnya. – MalaysiaGazzette
















