KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan pihaknya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa warga Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pelarian yang memiliki kad UNHCR yang sah masih tertakluk kepada peruntukan Akta Imigresen 1959/63.
Menurut beliau, etnik itu boleh dikenakan tindakan seperti PATI sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah.
“Majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran yang sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pengecualian hanya melibatkan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta tinggal lebih masa.
“Pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Zakaria menegaskan, pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar kerajaan yang diselaraskan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka serta Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Katanya, pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan kerajaan mempunyai data lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian serta pemohon suaka di Malaysia.
“Sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian ini adalah tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh MKN melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka,” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata JIM kekal komited melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas berlandaskan undang-undang serta dasar kerajaan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette
















