MELBOURNE – Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Melbourne pada Ahad malam untuk memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Australia atas jemputan rakan sejawatnya Perdana Menteri Anthony Albanese.

Pesawat khas yang membawa Anwar yang ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jet Base Melbourne kira-kira 10.40 malam waktu tempatan atau 7.40 malam waktu Malaysia.

Semasa lawatannya, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac.

Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Malaysia dan Australia akan mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan spektrum kerjasama yang luas, disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digutal dan keselamatan siber.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang diadakan bersempena ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia, dengan ASEAN dan Australia akan mengkaji semula situasi kerjasama semasa dan membincangkan penambahbaikan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang termasuk peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, kesalinghubungan dan kerjasama maritim. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast