KUALA LUMPUR – Aksi samseng jalanan di Jalan Semarak di sini mempamerkan gaya berbahaya menunggang motosikal akhirnya memakan diri apabila dicekup polis tengah malam tadi.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi Op Samseng Jalanan sempena ambang tahun baharu bermula pukul 3 hingga 5 pagi oleh pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Difahamkan, suasana di sekitar Jalan Semarak itu juga hingar bingar dengan deruman enjin dan ekzos motosikal yang diubah suai selain bersaing sesama sendiri dengan membuat aksi wheelie.
Menyedari laluan keluar dan masuk di lokasi itu ditutup polis, kesemua mereka itu cuba menyorok motosikal di premis kedai malah ada yang menyusup melalui laluan gelap di antara bangunan serta melawan arus.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisiner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi itu dijalankan melibatkan kekuatan seramai 53 keanggotan di dua lokasi di sekitar Jalan Tun Razak dan Jalan Semarak.
“Dalam operasi ini, kita telah mengeluarkan 92 kertas saman dengan 156 kenderaan diperiksa dalam Ops Samseng Jalanan di kedua-dua lokasi terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Antara kesalahan tertinggi dicatatkan adalah nombor pendaftaran sebanyak 27 saman, tiada lesen (26), tidak pamer stiker L/P (21), tiada cermin sisi (7), tiada brek (1) dan lesen tamat tempoh (3) turut disita 38 motosikal.
“Pemeriksaan juga mendapati, kebanyakkan jentera dua tayar yang ditahan telah diubah suai secara tidak sah termasuk tiada brek, ekzos diubah suai serta pemandu yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya.
Tambah Mohd Zamzuri, tumpuan operasi itu adalah dengan menyasarkan kepada samseng jalanan di pusat bandar walaupun sambutan ambang tahun baharu sudah berakhir.
Pada masa sama, turut dikesan wanita yang juga pengguna media sosial mengambil gambar dan membuat siaran langsung di aplikasi TikTok seperti mempromosi kegiatan tidak berfaedah itu. – MalaysiaGazette
















