KUALA LUMPUR – “Apakah anda (pengundi) yakin dengan calon yang tidak mampu menjaga kad pengenalan? Jika MyKad sendiri pun tak boleh jaga, macam mana mahu jaga rakyat?” soal Datuk Seri Yew Teong Look.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Wangsa Maju pada PRU-14 ini menyindir calon Pakatan Harapan (PH), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew ekoran nyaris pencalonannya ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya kerana tertinggal kad pengenalan di rumahnya.
Menurut Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju itu, pemilihan atau penentuan seseorang wakil rakyat tidak boleh dianggap remeh kerana ia akan menentukan nasib dan masa depan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Wahai pengundi pilihlah yang mampu bekerja tanpa beremosi. Beri saya peluang kali ini, saya anak Wangsa Maju dan sentiasa berada di sini bersama rakyat Wangsa Maju.
“Saya tidak asing bagi orang Wangsa Maju dan menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat selepas melihat kegagalan wakil rakyat pembangkang sebelum ini.
“Cukuplah memberi harapan pada parti yang tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat dan yakinlah bahawa BN lebih baik untuk kesejahteraan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Teong Look meneruskan kempen PRU-14 yang sudah memasuki hari ketujuh dalam usaha merampas semula kerusi itu daripada PKR.
Sementara itu, Teong Look juga optimis dalam melaksanakan segala aku janji dalam manifesto terbaharu yang telah dikemukakan kepada pengundi Wangsa Maju jika BN diberi mandat kali ini.
“Kita menawarkan janji yang akan dikotakan, manifesto kami bukan ‘gula-gula’ PRU-14 sebaliknya inisiatif yang akan diterjemahkan jika mandat pengundi balik semula kepada BN kali ini.
“Saya merayu pengundi, tolong kembalikan Wangsa Maju sebagai kubu kuat BN,” ujar beliau.- MalaysiaGazette
















