Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berucap pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO menganggap sokongan golongan muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai ‘undi senyap’ yang perlu didekati menerusi platform media sosial.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, golongan muda kini tidak statik dan sokongan mereka kadangkala perlu dibaca menerusi media sosial bukan secara fizikal.

“Orang muda ini tidak statik. Saya boleh katakan mereka adalah ‘undi senyap’ yang kadang-kadang kita kena baca melalui media sosial bukan secara fizikal.

“Generasi sekarang terlampau bijak dan memang bijak pun. Jadi mereka menilai dari segi bagaimana mereka menilai pemimpin,” beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, kempen menerusi media sosial bukan lagi sekadar pilihan tambahan sebaliknya satu keperluan bagi membolehkan golongan muda mengenali calon dengan lebih dekat.

“Kalau kita kata berkempen secara fizikal mungkin lebih berkesan kepada orang yang berumur tetapi dalam kalangan orang muda, kita kena tunjukkan kempen dari segi media sosial ini bukan satu bonus tetapi satu keperluan,” katanya.

Nurul Amal berkata, Puteri UMNO perlu memastikan calon daripada sayap itu aktif menggunakan media sosial bagi memperlihatkan karakter dan keperibadian mereka kepada pengundi muda.

Katanya, pendekatan berkenaan penting kerana golongan muda sukar ditemui secara bersemuka, sekali gus menjadikan media sosial sebagai medium penting untuk mereka mengenali calon.

“Kita kena tunjukkan, biar mereka kenal kita melalui media sosial, macam mana kita sebenarnya, bagaimana karakter kita dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here