KUALA LUMPUR – Wanita UMNO tidak mahu sejarah dan jasa Datuk Seri Najib Tun Razak kepada negara dipadam hanya kerana perubahan landskap politik.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, parti itu tetap menghargai sumbangan pemimpin terdahulu meskipun Najib kini berdepan proses undang-undang.
“Wanita UMNO juga tidak melupakan jasa Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita tidak perlu memadam sejarah untuk membina masa depan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Menurut Noraini, sumbangan Najib dalam pembangunan negara, transformasi ekonomi, pembangunan infrastruktur dan bantuan kepada rakyat merupakan sebahagian daripada sejarah negara yang tidak boleh dinafikan hanya kerana politik berubah.
Pada masa sama, Noraini menegaskan, Wanita UMNO menghormati institusi dan proses perundangan yang sedang berlangsung.
“Dalam perkara yang sedang melalui proses undang-undang, kita menghormati institusi dan proses perundangan tetapi menghormati proses undang-undang tidak menghalang kita daripada mempunyai nilai kemanusiaan. Wanita UMNO tahu mengenang jasa,” tegasnya.
Noraini turut mendoakan Najib dan keluarganya diberikan kekuatan menghadapi ujian.
“Kita terus berdoa agar pintu keadilan dan ihsan dibuka, supaya beliau dapat kembali ke pangkuan keluarga dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya.- MalaysiaGazette
















