KUALA LUMPUR – Semua agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diarahkan memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Height, Selasa lalu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya bersedia memberikan sebarang bantuan yang diperlukan bagi memastikan punca kejadian dapat dikenal pasti dan langkah-langkah pencegahan dapat diambil bagi mengelakkan insiden serupa daripada berulang.
Tambah beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga bersedia memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga memohon jasa baik orang ramai untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh.
“Kami akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Alexander, beliau mengikuti perkembangan insiden tersebut dengan rapat dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pegawai-pegawai di kementeriannya dan agensi terlibat.
Ujarnya, keselamatan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan ketika ini dan beliau yakin semua pihak yang terlibat komited untuk memastikan siasatan penuh dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.
“Tiada kata yang dapat diucapkan bagi menzahirkan kesedihan dan rasa simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat kejadian ini,” katanya.
Dalam insiden kebakaran paip gas itu, seramai 1,254 orang daripada 308 keluarga menjadi mangsa dengan 87 buah rumah musnah sepenuhnya, manakala 148 kediaman lagi mengalami kerosakan. – MalaysiaGazette
















