INFOGRAFIK: IHSAN The Future

KUALA LUMPUR – Peningkatan nilai tarif yang besar yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia berpotensi menyumbang kepada penyusutan nilai eksport Malaysia ke negara itu sebanyak RM187.6 billion.

Centre For Future Studies Berhad (The Future) berkata, sekiranya Malaysia mengambil langkah untuk tidak mengenakan timbal balik tarif, lebihan dagangan Malaysia-AS dijangka menjadi defisit kepada RM108.5 billion pada tahun ini.

Jelasnya, peningkatan tarif oleh AS itu akan menyebabkan kos barangan Malaysia menjadi lebih mahal, menjadikannya kurang berdaya saing berbanding pembekal domestik atau pembekal asing lain.

Ia tambahnya, akan mengurangkan permintaan daripada pembeli AS, seterusnya mengurangkan eksport Malaysia ke AS.

INFOGRAFIK: IHSAN The Future

 

Selain itu, ujarnya, penyusutan dalam nilai eksport Malaysia ke AS dijangka akan mengurangkan penjanaan keluaran dalam kasar negara (KDNK) sebanyak RM32.9 billion.

Akibatnya, tambah The Future, kadar penciptaan guna tenaga berkurangan sebanyak 269,000 orang dan penyusutan gaji dan upah dan hasil kutipan cukai tidak langsung masing-masing sebanyak RM10.7 billion dan RM0.6 billion.

“Analisis ini bagaimanapun tidak mengambil kira kesan tidak langsung di sepanjang rantaian pembekalan global yang bakal diterima oleh Malaysia akibat daripada pengenaan tarif timbal balik AS ke atas rakan dagangan utama negara seperti China dan Kesatuan Eropah (EU),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambah kenyataan tersebut, The Future menekankan keperluan pihak kerajaan melaksanakan penilaian ekonomi secara komprehensif akibat pengenaan tarif timbal balik ke atas 49 negara bagi membolehkan langkah susulan diambil.

Dalam situasi ini, ujarnya, mengimbangi impak “perang” tarif tersebut amat penting bagi memastikan usaha pembaharuan ekonomi tidak terjejas.

“The Future berdedikasi menerajui perubahan transformasi ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia melalui penyelidikan berasaskan bukti dengan matlamat untuk memaklumkan kepada penggubal dasar, perniagaan dan orang ramai tentang implikasi daripada perubahan transformasi ini,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump semalam sempena “Liberation Day” mengumumkan tarif baharu yang mana Malaysia tidak terkecuali apabila dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksport ke AS.

Ia merupakan kadar yang jauh lebih tinggi berbanding tarif asas 10 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan negara lain.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, Malaysia tidak mempertimbangkan untuk mengenakan tarif balas susulan langkah AS tersebut.

Namun, MITI memandang serius dasar baharu AS itu dan sedang giat berunding dengan negara berkenaan bagi mencari penyelesaian yang selaras dengan semangat perdagangan bebas dan adil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast