WASHNGTON – Presiden Donald Trump akan melaksanakan tarif 100 peratus ke atas filem yang dibuat di negara asing, sekali gus meningkatkan pertikaian perdagangan dengan negara-negara di seluruh dunia.
Trump berkata, beliau memberi kuasa kepada wakil perdagangan Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan proses mengenakan levi kerana industri filem Amerika sedang mati dan “kematian yang sangat pantas”.
Beliau menyalahkan “usaha bersepadu” oleh negara lain yang menawarkan insentif untuk menarik pembuat filem dan studio, yang disifatkannya sebagai “ancaman kepada keselamatan negara”.
“Ia adalah, sebagai tambahan kepada segala-galanya, mesej dan propaganda!.
“Kami mahu filem dibuat di Amerika,” kata Trump pada platform Truth Socialnya.
Sejak kembali ke White House pada Januari lalu, Trump telah mengenakan tarif ke atas negara di seluruh dunia.
Beliau berhujah, tarif akan meningkatkan pengilang dan melindungi pekerjaan di AS.
Namun tindakannya menyebabkan ekonomi global dalam keadaan huru-hara dan harga barangan di seluruh dunia dijangka meningkat.
Menjelang perasmiannya, Trump melantik tiga bintang filem – Jon Voight, Mel Gibson dan Sylvester Stallone – untuk menjadi duta khas yang ditugaskan untuk mempromosikan peluang perniagaan di Hollywood, yang disifatkannya sebagai “tempat yang hebat tetapi sangat bermasalah”.
“Mereka akan berkhidmat sebagai duta khas kepada saya untuk tujuan membawa Hollywood, yang telah kehilangan banyak perniagaan sejak empat tahun lalu ke negara asing, Kembali—Lebih Besar, Lebih Baik, dan Lebih Kuat daripada sebelumnya!,” tulis Trump lagi.
Trump telah ‘menghentam’ China paling teruk dengan mengenakan cukai import sehingga 145% ke atas barangan dari sana.
Pentadbirannya berkata, levi ke atas beberapa barangan China boleh mencecah 245% bulan lepas apabila tarif baharu ditambah kepada tarif sedia ada.
Beijing telah membalas dengan duti import sebanyak 125% ke atas barangan dari AS.
Negara-negara lain pada masa ini menghadapi tarif AS sebanyak 10% sehingga penangguhan pada levi yang lebih tinggi tamat pada bulan Julai.
Bercakap kepada pemberita di Air Force One pada hari Ahad, Trump berkata, beliau sedang bertemu dengan banyak negara, termasuk China, mengenai perjanjian perdagangan.
Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk bercakap dengan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping minggu ini – walaupun laporan sebelum ini mendakwa Washington telah mendekati Beijing mengenai mengadakan rundingan perdagangan.
Ditanya sama ada sebarang perjanjian perdagangan akan diumumkan minggu ini, Trump berkata, ia boleh “sangat baik”, tetapi tidak memberikan butiran. – Agensi
















