MELAKA – Sesi persidangan Bajet 2027 negeri Melaka akan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri berkenaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, pihaknya dijangka mengadakan perbincangan mengenai pembentangan bajet berkenaan bersama Kementerian Kewangan pada minggu depan.
“Bajet negeri kita selepas pilihan raya tetapi belum ada sebarang perbincangan berhubung perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Machap Jaya di Menggong, Alor Gajah di sini hari ini.
Menurut Ab Rauf, Timbalan Menteri Kewangan akan datang ke Melaka untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri mengenai perkara itu.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh pembentangan bajet negeri berkenaan.

Mengulas dakwaan pihak tertentu program turun padang seperti Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat adalah kempen pilihan raya menjelang PRN, beliau menafikan tuduhan itu kononnya bertujuan menarik undi rakyat.
“Hakikatnya, program ini bukanlah baru kita mulakan semalam, bukan juga baru kita gerakkan apabila pilihan raya semakin hampir.
“Sebaliknya sejak hari pertama saya diberi amanah lebih dua tahun lalu saya mengemudi negeri ini, inilah cara kita bekerja,” ujarnya.

Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat jelasnya, berkonsepkan pemimpin mendekati rakyat di peringkat akar umbi dan bukan sebaliknya.
“Kita tidak hanya menunggu rakyat datang kepada kerajaan, tetapi barisan kepimpinan negeri inilah yang turun mendekati rakyat dari satu DUN ke satu DUN, kampung ke taman perumahan, pintu ke pintu untuk memastikan tiada satu suara pun tercicir, tiada satu keperluan dipandang sepi.
“Ini semua berpaksikan rakyat, kerana bagi saya daripada rakyat kita mendapat mandat, kepada rakyat kita kembali berkhidmat dan untuk rakyat jugalah segala usaha ini kita gerakkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















