Anggota Maritim Malaysia membantu menyelamatkan 30 warga Indonesia selepas bot terbalik di timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  menyelamatkan 30 warga Indonesia selepas bot yang mereka naik terbalik pada kedudukan 19.3 batu nautika timur laut Tanjung Penawar di sini hari ini.

Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat awal daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Tanjung Pinang berkenaan insiden terbabit pada pukul 9 pagi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, KM Sibuan bersama-sama aset lain antaranya bot Petir 11 dan bot Penggalang 15 ditugaskan ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

“Semasa kejadian kapal Andros Spirit berada di tempat kejadian sebelum segera membantu mangsa dan menempatkan mereka atas kapal tersebut.

“Pihak Maritim diiringi kapal dan bot yang terlibat menghantar mereka ke sempadan perairan Indonesia sebelum diserahkan kepada kapal KN Rantos, KN Kalimasadha dan KN Tanjung Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Kama Azri berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama erat antara agensi penguat kuasa maritim serantau dan tindakan pantas semua pihak yang terlibat.

“Maritim Malaysia sentiasa komited memastikan keselamatan perairan negara dan akan terus bekerjasama dalam operasi lintas sempadan demi melindungi nyawa di laut,” katanya.

Menerusi operasi itu ujar beliau, MRSC Johor Bahru telah mengkoordinasikan operasi dengan bantuan pihak Basarnas yang berjaya menyelamatkan semua mangsa terlibat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast