Presiden Parti Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik permohonan imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther.

Menurut beliau, permohonan seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara selain tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Ujar beliau, sebagai Presiden PKR, Anwar sepatutnya memahami bahawa aspek keadilan itu sepatutnya ditegakkan di mahkamah.

“Perdana Menteri melalui peguam-peguamnya berhujah bahawa sebagai Perdana Menteri perbicaraan akan mengganggu tugasnya sebagai PM dan kestabilan negara.

“Maka jalan yang betul adalah berhenti sementara dari jawatan dan tugas PM dan hadir di mahkamah sebagai seorang Anwar!” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Ezam, Anwar seharusnya berhenti menngheret rakyat untuk menanggung masalah peribadi beliau yang sudah dilakukan sejak 1998.

Malah, katanya, beliau sendiri pernah dua kali dipenjara selain berbelas-belas kali dikenakan tahanan lokap, dengan ramai lagi menjadi mangsa sepertinya, sehingga menanggung derita disebabkan kes dan masalah peribadi seorang ketua.

“Dan hari ini kamu menjadi ketua negara dan sanggup mengheret seluruh rakyat dan negara dengan menggunakan jawatan Perdana Menteri untuk lari dari proses keadilan,” katanya.

Tambah Mohamad Ezam, Anwar kini tidak lagi mempunyai alasan untuk mendakwa mahkamah tidak berlaku adil memandangkan beliau sekarang merupakan Perdana Menteri.

“Tarik balik permohonan imuniti dan hadirlah di mahkamah sebagai Anwar Ibrahim yang berdepan dengan Yusof Rawther atas sifat dan nilai yang sama sebagai manusia yang mencari keadilan dihadapan seorang hakim!” katanya.

Mohamad Ezam sebelum ini pernah dipenjarakan di Penjara Kajang selain menjalani hukuman di Kem Tahanan Kamunting 2001-2003.

Semalam, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan.

Permohonan itu termasuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast