Dua lelaki didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang peniaga durian dan tukang cat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pegawai kastam menggunakan kayu besbol, tiga minggu lalu.

Tertuduh, Ooi Kok Hwa, 42, dan Ang Chee Guan, 37 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 53 tahun menggunakan kayu besbol di kawasan parkir NBCT Penang Port di sini, jam 6.45 pagi pada 8 Mei lalu.

Masing-masing tertuduh dibenarkan ikat jamin RM7,000 beserta syarat tambahan.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed manakala semua tertuduh diwakili peguam Y. Yogeswaran.

Ketika prosiding Muhammad Rifaie menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis.

Bagaimanapun, dalam mitigasi rayuan Yogeswaran meminta jaminan minima atas alasan anak guam pertamanya, Kok Hwa merupakan peniaga durian dengan pendapatan bulanan RM2,500 sudah bercerai namun perlu menanggung perbelanjaan anak tunggalnya.

“Manakala Chee Guan pula, perlu menanggung dua anaknya dengan pendapatan bulanan RM2,200 sebagai tukang cat,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 serta syarat tambahan perlu lapor diri setiap 15 haribulan di balai polis terdekat setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 1 Julai depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast