Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Masjid Tanah, Melaka menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sambil menegaskan bahawa penyertaan beliau bukan melompat parti.

Sayap parti itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah positif yang mencerminkan sifat keterbukaan PKR sebagai sebuah parti yang inklusif serta bersedia memimpin negara ke arah masa depan lebih progresif dan adil.

“Penyertaan beliau memperkukuh imej PKR sebagai parti yang inklusif dan bersedia memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif, adil, dan berpaksikan kepakaran,” ujar kenyataan itu.

AMK turut menolak dakwaan bahawa Tengku Zafrul melompat parti, kerana beliau bukan Ahli Parlimen atau wakil rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya, tetapi merupakan Senator dan Menteri yang telah terlebih dahulu meletakkan semua jawatan dalam UMNO sebelum menyatakan niat untuk menyertai PKR.

Sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Kepimpinannya kata AMK Masjid Tanah itu, berjaya menarik pelaburan asing yang signifikan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan dasar-dasar baharu yang menyokong inovasi, pembangunan industri hijau serta pelaburan strategik jangka panjang yang memberi kesan langsung kepada peningkatan daya saing negara dan peluang pekerjaan untuk rakyat.

“AMK Masjid Tanah menyokong penuh keterbukaan KEADILAN dalam menerima tokoh profesional yang berwibawa, selari dengan aspirasi parti untuk memimpin Malaysia dengan dasar-dasar yang berteraskan idea, kepakaran dan membawa kemajuan kepada negara,” tambah kenyataan itu lagi.

AMK Masjid Tanah turut menyeru semua pihak agar tidak melihat langkah ini dari sudut partisan, sebaliknya sebagai satu usaha membina demi kebaikan politik negara secara keseluruhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast