Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki warga asing bertengkar dengan seorang lelaki sebelum bertindak melarikan diri.

KUALA LUMPUR – Polis belum menerima laporan berhubung kejadian pertikaman lidah melibatkan lelaki warga asing di sebuah stesen minta di Jalan Seremban – Kuala Pilah menghala ke Bukit Putus, di Negeri Sembilan.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar  meminta individu yang terbabit dalam kejadian video tular kejadian itu di media sosial tampil membantu siasatan.

“Sehingga kini, tiada laporan polis yang diterima berhubung kejadian ini. Sekiranya berlaku kejadian jenayah, individu yang terbabit dalam kejadian ini diminta tampil membuat laporan,” katanya hari ini.

Menerusi video yang tular, kelihatan beberapa lelaki warga Afrika bertengkar dengan seorang lelaki dipercayai warga tempatan, namun punca sebenar pertelingkahan masih belum dapat dipastikan.

Sebuah kereta jenis Proton X50 berwarna biru yang dipercayai dipandu oleh lelaki warga asing turut dilihat dipandu secara tergesa-gesa dengan but belakang tidak bertutup.

Rakaman itu turut menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan dipercayai akibat kesan pelanggaran.

Bagaimanapun, kenderaan tersebut kemudiannya dilihat meninggalkan lokasi kejadian.

Ketika insiden berlaku, beberapa kenderaan pelanggan turut berada di kawasan stesen minyak terbabit untuk mengisi minyak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast