Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Pemangku Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin menyifatkan tindakan pemimpin parti itu melobi jawatan menteri menerusi ketua-ketua cabang sebagai memalukan dan tindakan terdesak.

Malah beliau turut menegaskan tindakan tersebut bukan budaya seorang reformis yang sepatutnya dimiliki oleh setiap ahli PKR.

Menurut beliau, cadangan menamakan ahli Parlimen yang layak diangkat sebagai menteri terletak sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malah ia perlu melalui perkenan YDP (Yang di-Pertuan) Agong…Kalau dia lobi dan dapat sokongan majoriti ketua-ketua cabang pun tapi YDP Agong tidak setuju, SD (surat sokongan) itu tetap masuk dalam bakul sampah…,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, bekas Timbalan Komunikasi PKR Sabah, Fekirie Gobet mendedahkan seorang pemimpin parti itu sedang giat menghubungi ketua-ketua cabang bagi meraih sokongan untuk melobi jawatan menteri.

Sehubungan itu, Fekirie menggesa pucuk pimpinan parti bertindak segera dan mengeluarkan larangan terhadap amalan itu yang disifatkan mencabar kuasa Anwar yang juga Presiden PKR dalam menentukan barisan jemaah menteri.

Ketika ini, jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam kosong selepas penyandangnya iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan masing-masing hujung bulan lalu.

Keputusan mereka itu dibuat susulan kekalahan pada pemilihan PKR Pusat yang mana Rafizi gagal mempertahankan jawatannya Timbalan Presiden, manakala Nik Nazmi tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast