MELAKA – Seorang pembantu kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai dan barang kemas milik jirannya bernilai kira-kira RM10,000, minggu lalu.
Tertuduh, Pok Zhen Wei, 27, yang masih bujang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman pada 8 September ini sementara menunggu pihak pendakwaan melengkapkan fakta kes.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa mencuri wang tunai dan barang kemas milik seorang lelaki berusia 44 tahun yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM10,000.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, Krubong, dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari 12 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh melakukan jenayah berkenaan terhadap mangsa yang juga jirannya itu akibat terdesak kerana perlu menjaga bapanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Nadzir Abdul manakala tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain.
Sementara itu, Umar merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM400 seminggu sebagai pembantu di sebuah medan selera.
Tertuduh juga hujahnya, perlu menjaga kedua-dua ibu bapanya masing-masing berusia 67 dan 69 tahun selain bapanya merupakan OKU.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,800 dan menetapkan 8 September ini untuk fakta kes dan hukuman. – MalaysiaGazette
















