JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 masing-masing terhadap seorang penganggur dan pemandu lori atas kesalahan menjadi keldai akaun, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Daniel Zainal, 31, dan Mohd Ridduan Samsi, 43, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Ibrahim Che Wan Zaidi.
Hakim turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, Mohd Riduan secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM1,000 ke dalam akaun bank miliknya.
Perbuatan berkenaan dilakukan di Jalan Pelanduk Utama Taman Scientex, Pasir Gudang, pada 17 November 2024.
Mohd Daniel pula didapati secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM3,093 ke dalam akaun bank miliknya.
Perbuatan berkenaan dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Mutiara 7, Taman Perindustrian Plentong, Masai, pada 13 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh telah melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan, boleh dihukum dibawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd Luthfi Ismail dan tertuduh tidak diwakili peguam.- MalaysiaGazette
















