PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, pasukan pendakwaan sedang menunggu maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) di Manchester, United Kingdom (UK) untuk mengesan keberadaan Muhammed Yusoff Rawther bagi membolehkan notis rayuan diserahkan kepadanya secara peribadi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan, pihaknya menghantar surat kepada pasukan itu pada 22 Julai lalu bagi mendapatkan bantuan menjejaki bekas pembantu penyelidik ahli politik itu.
Namun ujar beliau, hingga kini keberadaan Muhammed Yusoff masih belum dapat disahkan dan pihak Interpol masih mengumpul maklumat untuk mengesannya.

Pada prosiding lalu, Mohd. Asnawi memaklumkan, notis rayuan tidak dapat diserahkan kepada Muhammed Yusoff dan pihaknya diberitahu melalui surat, bahawa beliau kini berada di UK sejak Jun tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan lain untuk memaklumkan kepada mahkamah perkembangan penyerahan notis rayuan tersebut.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy memberikan tempoh dua bulan kepada pendakwaan dan menetapkan 4 November ini sebagai tarikh sebutan.
Pada prosiding 15 Jun lalu, Mahkamah Rayuan memberikan tempoh tiga bulan kepada pihak pendakwaan untuk mengambil semua usaha wajar bagi menyerahkan notis rayuan secara persendirian kepada Muhammed Yusoff, sebelum rayuan didengar.
Rayuan difailkan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, dua tahun lalu.
Sementara itu, Mohd. Asnawi turut menjawab persoalan undang-undang di bawah Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) melibatkan kes Gan Boon Aun melawan Pendakwa Raya yang menyentuh mengenai penyerahan notis rayuan.
Pada prosiding lalu, panel hakim menegaskan keperluan untuk mematuhi Seksyen 314 yang mensyaratkan pihak pendakwaan selaku perayu menyerahkan notis rayuan dan notis pendengaran secara peribadi kepada responden bagi membolehkan rayuan didengar di mahkamah.
Bagaimanapun, Mohd. Asnawi berhujah, perkembangan kes melibatkan Muhammed Yusoff berbeza dengan situasi kes Boon Aun kerana lelaki itu (Boon Aun) melarikan diri ketika prosiding rayuan manakala Muhammed Yusoff bersedia untuk menghadiri prosiding rayuan menerusi aplikasi Zoom.
“Kes Muhammed Yusoff berbeza kerana responden bersedia hadir rayuan bukan secara fizikal, sebaliknya menerusi wadah berlainan.
“Seksyen 314 tidak menyatakan rayuan perlu didengar secara fizikal,” hujah Mohd. Asnawi.
Dalam pada itu, Hakim Azman bagaimanapun mencelah dengan menyatakan, mahkamah tidak boleh memberikan perhatian terhadap kes Muhammed Yusoff dengan membenarkan rayuan didengar secara Zoom.
“Itulah masalahnya, kalau kes ini kita bagi perhatian, bagaimana pula dengan kes-kes lain?
“Sebab ini kes jenayah, saya tidak mahu jika mahkamah membuat keputusan yang mana kita perlu keluarkan waran, namun ia tidak dapat dilaksanakan. Sebab itu kita perlu kehadiran responden,” ujar Hakim Azman.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mengetuai pasukan pembelaan menyatakan, anak guamnya bersedia untuk menghadiri prosiding rayuan menerusi aplikasi Zoom.
Ujarnya, pendirian pembelaan tidak berubah seperti yang dinyatakan dalam surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan pada 2 Jun lalu.
Pada prosiding sebelum ini, Muhammad Rafique memaklumkan anak guamnya berada di UK sejak Jun tahun lalu, selepas beliau memohon suaka hak asasi manusia.
Pada 12 Jun 2025, Muhammed Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tanpa dipanggil membela diri atas masing-masing satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki pistol tiruan.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammed Yusoff di akhir kes pendakwaan.
Pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada pukul 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada pukul 9.25 pagi, 6 September tahun sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















