JOHOR BAHRU – Kanak-kanak dua tahun yang menjadi mangsa serangan sekumpulan anjing liar di hadapan rumahnya di Kampung Tambak, Peserai di sini Sabtu lalu cedera parah di bahagian kepala dan pipi selain luka pada hampir seluruh badan.
Ibu mangsa Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, beberapa luka di belakang mangsa sudah dijahit selepas pembedahan pertama manakala doktor masih memantau keadaannya sebelum meneruskan prosedur seterusnya.
Dia berkata, semasa kejadian, ia turut disaksikan abang mangsa iaitu anak kedua daripada tiga beradik yang berusia 12 tahun yang kini trauma gara-gara melihat kejadian ngeri itu.
“Semasa kejadian itu anak kedua saya turut cuba menghalau anjing berkenaan ketika melihat adiknya diserang dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi.
“Kejadian ini menyebabkan emosi anaknya terganggu sehingga kini dan dia beberapa kali menangis apabila teringat semula kejadian tersebut,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di Wad Kanak-kanak Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSI) di sini hari ini.
Bercerita lanjut, Nur Wahyuni berkata, dia dan suaminya, Mohamad Hamizi Hamdan, 37, pekerja penyelenggaraan ketika itu baru bergerak ke Johor Bahru untuk berniaga sebelum menerima panggilan daripada keluarga memaklumkan anak mereka diserang anjing.
“Saya dan suami keluar rumah pukul 6.50 pagi dan menerima panggilan kira-kira pukul 7.20 pagi. Saya terus berpatah balik. Saya cukup sedih sebab kejadian itu berlaku pada hari jadi saya,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami masih belum dapat pulang ke Batu Pahat kerana perlu berada di sisi Khaira yang kini dirawat di ICU HSA Johor Bahru.
Dalam masa sama, dia turut gusar kerana keadaan anak lelakinya yang ditinggalkan di rumah dalam keadaan trauma.
“Bila saya telefon tanya, abang okey tak? Kakaknya kata abang menangis. Mungkin bila dia hendak pejam mata pun, dia teringat kejadian itu. Saya di sini, dia di sana (Batu Pahat). Nak peluk pun tak boleh.
“Saya dengan suami pun sudah tidak lalu makan, dia pun tidak makan,” katanya.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kepalanya terkoyak dan pipinya berlubang akibat digigit sekumpulan lima ekor anjing.
Insiden mencemaskan itu disedari nenek mangsa, Darlinda Darlis, 56, sebelum menjerit sekuat hati meminta pertolongan sebaik melihat haiwan tersebut mengerumuni cucunya di hadapan rumah. – MalaysiaGazette
















