TOKYO – Kira-kira 100 ekor kucing mati ditemui di rumah seorang wanita di barat daya Jepun yang bekerja dalam kumpulan kebajikan haiwan, kata Animal Assist Senju.
Menerusi media sosial, kumpulan ini memohon maaf kerana menyiarkan gambar rumah yang bertaburan sampah yang dikatakan “melimpah dengan najis dan air kencing”.
Animal Assist Senju berkata, kakitangannya itu didapati mengambil banyak kucing tanpa berunding dengan organisasi tersebut.
Seekor kucing ditemui “tidak dapat dikenali” dengan “kulitnya menggelupas sebahagiannya dan kakinya dipenuhi najis dan air kencing”, kata kumpulan itu dalam catatan Instagram pada hujung minggu.
Pusat perlindungan haiwan Kumamoto City memberitahu AFP, jumlah kucing yang mati pada mulanya dianggarkan berjumlah “sekitar 100”.
Animal Assist Senju, yang berpangkalan di wilayah Kumamoto berkata, ia menyelamatkan kucing dan anjing dari tempat perlindungan haiwan dan memindahkan mereka ke tempat baharu.
“Semua ahli kumpulan kami memandang serius apa yang berlaku.
“Kita hanya boleh bayangkan betapa peritnya kesakitan yang dilalui kucing sebelum mati,” katanya dalam satu lagi catatan Instagram.
Wanita itu tidak lagi dibenarkan mengambil kucing-kucing tersebut.
Tidak jelas sama ada tindakan undang-undang telah diambil terhadap wanita itu.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 12 kucing hidup telah diselamatkan dari rumah setakat ini, menurut pegawai perlindungan haiwan, Tsutomu Takimoto. – Agensi
















