Van jenazah yang membawa mangsa rempuhan lori JIM meninggalkan IPFN petang ini.

KUALA LUMPUR – Proses bedah siasat tiga beranak yang maut dalam nahas membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) awal pagi tadi, selesai sekitar jam 5.45 petang ini.

Jenazah kesemua mangsa akan dibawa ke Masjid Jamiul Ehsan di sini untuk disolatkan selepas dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kesemua jenazah tiga beranak itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.

Mangsa yang maut itu dikenal pasti pesara, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53 dan dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25 serta Siti Darwisyah Auni, 12.

Sementara itu, isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang parah dalam kejadian itu kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.

Terdahulu, waris keluarga memberitahu, kesemua mangsa datang ke Kuala Lumpur untuk bercuti dan menginap di sebuah hotel di sekitar ibu negara serta merancang untuk bertemu ibu Shaik Mohd Firdaus di Semenyih, Selangor.

Tinjauan MalaysiaGazette turut mendapati, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Imjau hadir sekitar jam 1 tengah hari tadi untuk memberi penghormatan kepada mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak maut selepas dirempuh sebuah lori milik JIM Kuala Lumpur di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan JIM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan kemalangan maut di ibu negara awal pagi tadi yang mengorbankan tiga sekeluarga.

Perdana Menteri berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa kompromi sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian atau pelanggaran undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here