KOTA TINGGI – Dakwaan pelbagai pihak risau berkenaan penutupan operasi Resort One & Only di Desaru Coast di sini dua bulan lalu tidak berasas.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelbagai berita tidak tepat kerana sebenarnya proses pertukaran operator baharu sedang berlaku merupakan perancangan strategik penjenamaan semula resort berkenaan.
Jelasnya, Mandarin Oriental kini operator baharu yang bukan sahaja melonjakkan lagi prestij Desaru malah menggambarkan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap masa depan Johor sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Suasana hari ini jauh berbeza berbanding dua bulan lalu ketika ada berita kurang tepat mengenai penutupan resort ini yang mencetuskan kerisauan. Namun hakikatnya ia hanyalah pertukaran operator dan bukan penutupan operasi.
“Hari ini kami membuktikan bahawa resort ini bukan sahaja terus bertahan malah semakin berkembang dengan kehadiran Mandarin Oriental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian pelantikan Mandarin Oriental sebagai operator baharu di resort Desaru Coast di sini hari ini.
Kata Onn Hafiz, pertukaran operator itu sangat tepat pada masa memandangkan Johor kini berada dalam kedudukan yang unik serta memiliki masa depan cerah menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurutnya, kerjasama antara Malaysia dan Singapura bagi JS-SEZ telah membawa manfaat besar kepada Johor.
Hanya dalam suku pertama tahun ini, Johor mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM27.4 bilion ($8.32 bilion) berbanding RM4 bilion pada suku sama tahun 2024, peningkatan sebanyak RM24 bilion dalam tempoh setahun.
“Ini membuktikan potensi besar negeri ini dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan. Saya percaya kehadiran Mandarin Oriental akan meningkatkan lagi daya saing Johor di pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai usaha pembangunan infrastruktur bernilai RM5 bilion oleh kerajaan Persekutuan bagi memastikan JS-SEZ termasuk Desaru mempunyai prasarana bertaraf dunia.
“Kita telah memulakan kerja naik taraf lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Senai-Desaru. Menjelang awal 2027 pula, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor dan Singapura akan mula beroperasi sepenuhnya,” ujarnya.
Onn Hafiz berkata, pembangunan Johor tidak hanya tertumpu kepada aspek infrastruktur tetapi melibatkan pembangunan modal insan secara menyeluruh.
“Sebanyak 70 peratus daripada 1,500 pekerja di Desaru Coast adalah anak Johor. Kerajaan negeri bersama Johor Talent Development Council (JTDC) akan terus bekerjasama dengan pihak hotel dan sektor pelancongan untuk memastikan rakyat negeri ini mendapat latihan dan kemahiran bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (interim) Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH), Karina Ridzuan berkata, usaha meningkatkan jumlah pengunjung dari Singapura akan terus dilakukan.
“Ia berikutan permintaan tinggi pelancong dari republik itu yang kini merangkumi sekitar 40 peratus daripada jumlah pengunjung Desaru Coast.
“Kami menyasarkan peningkatan jumlah pelancong dari Singapura dan akan terus mempergiat promosi di republik itu serta di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau menjelaskan, pembangunan itu turut memberi impak langsung kepada komuniti setempat khususnya melalui peningkatan kemahiran serta peluang pekerjaan baru dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.- MalaysiaGazette
















