Pejabat Kementerian Sumber Manusia ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan sektor kerajaan sempena Belanjawan 2022 di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland kerana Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai organisasi induk kesatuan sekerja terbesar di Malaysia tidak mempunyai barisan kepimpinan.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, pada 21 Februari 2025, Mahkamah Rayuan telah mengarahkan agar MTUC menjalankan pemilihan semula kepimpinan mereka dalam tempoh 90 hari yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Bersama Khas (JBK).

Pemilihan yang sepatutnya dijalankan pada Mei 2025 telah ditangguhkan ke 10 Ogos 2025 dan menyebabkan MTUC tidak mempunyai kepimpinan yang sah bagi mewakili pekerja dalam mana-mana platform rasmi termasuk ILC.

JBK telah ditubuhkan khusus untuk mengendalikan pemilihan semula MTUC tetapi tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan dasar atau mencalonkan nama bagi mewakili pekerja ke forum antarabangsa.

Malah, pencalonan nama oleh JBK ke ILC adalah di luar bidang kuasa yang diberikan oleh mahkamah dan telah dibantah sendiri oleh beberapa ahli gabungan MTUC.

“Kesuma menegaskan pemilihan delegasi Malaysia ke ILC dibuat secara telus berpandukan garis panduan ILO serta mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai status semasa MTUC.

“Justeru, sebarang dakwaan bahawa kerajaan sengaja menyekat penyertaan wakil pekerja adalah tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat,” kata kementerian itu sambal menyatakan kerajaan kekal komited kepada prinsip tripartisme dan mendukung hak penyertaan kesatuan sekerja yang sah dalam semua platform antarabangsa.

Pada masa sama, Kesuma menyeru agar proses pemilihan semula MTUC diselesaikan segera demi menjaga maruah pergerakan kesatuan sekerja dan memastikan penyertaan lengkap Malaysia ke ILC tahun hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast