KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendesak satu siasatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi berkaitan dijalankan susulan kes sisa pembinaan dan perobohan dari Singapura dibawa masuk serta dilupuskan secara haram di beberapa lokasi di Pontian, Johor.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, siasatan itu melibatkan agensi SWCorp; Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); polis; pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, siasatan mesti meneliti keseluruhan rantaian kegiatan termasuk syarikat pengangkutan, pengimport, pemilik tanah, broker, dokumen kastam, permit, lesen, pembayaran dan pegawai yang meluluskan atau memeriksa kemasukan tersebut.
“Dilaporkan bahawa sembilan syarikat berdaftar di Malaysia sedang disiasat, manakala beberapa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
“Terdapat juga dakwaan bahawa muatan berkenaan diisytiharkan sebagai “sisa pertanian” ketika memasuki negara ini.
“Jika benar, bagaimana puluhan treler boleh melepasi pintu sempadan dan menjalankan kegiatan tersebut secara berulang, malah didakwa hampir dua tahun, tanpa dikesan atau dihentikan lebih awal?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dakwaan pembayaran sehingga RM15,000 kepada pemilik tanah dan orang tengah juga perlu disiasat secara telus.
“Jangan hanya mendakwa pemandu lori atau pemilik tanah, sedangkan dalang serta pihak yang meraih keuntungan lebih besar terlepas,” katanya.
Menurutnya lagi, jenayah alam sekitar boleh menjadi jenayah rasuah apabila kegiatan haram dibolehkan melalui wang, pengaruh, perlindungan atau sikap menutup mata.
“MCW menegaskan bahawa Malaysia bukan ‘tong sampah’ kepada mana-mana negara.
“Semua pihak yang terbukti terlibat termasuk pegawai awam mesti didakwa tanpa pilih kasih,” katanya.
Portal ini sebelum ini melaporkan kegiatan pembuangan sisa binaan yang dipercayai diambil daripada kerja-kerja perobohan rumah pangsa lama di Singapura ke lebih lima lokasi di Pontian sejak dua tahun lalu.
Dianggarkan kira-kira 20 treler membawa sisa bahan binaan berkenaan untuk dibuang di beberapa lokasi, antaranya Kampung Sungai Senai, Kampung Sungai Karang dan Kampung Simpang Kiri.
Aktiviti itu yang didakwa berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi, bukan sahaja menyebabkan rumah penduduk mengalami retak dan berhabuk malah meningkatkan risiko kemalangan jalan raya khususnya penunggang motosikal.
Sehubungan itu, Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, sebanyak empat kertas siasatan dibuka berhubung aktiviti penambakan dan pembuangan sisa binaan dari Singapura yang dikesan beroperasi di beberapa kawasan di Pontian. – MalaysiaGazette
















