TEHRAN – Iran mengecam larangan perjalanan Syarikat ke atas rakyatnya dan warga 11 negara lain yang kebanyakannya Timur Tengah dan Afrika dan menyifatkan keputusan Washington itu sebagai “mentaliti perkauman”.
Ketua Pengarah Kementerian Luar Iran, Alireza Hashemi-Raja berkata, langkah yang berkuat kuasa 9 Jun itu sebagai “tanda jelas penguasaan mentaliti ketuanan dan perkauman dalam kalangan pembuat dasar Amerika”.
Keputusan itu juga menunjukkan permusuhan mendalam pembuat keputusan Amerika terhadap rakyat Iran dan Islam”, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian.
Selain Iran, larangan AS menyasarkan warga Afghanistan, Myanmar, Chad, Congo-Brazzaville, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Larangan separa turut dikenakan ke atas pelancong dari tujuh negara lain.
Hashemi-Raja berkata, dasar itu melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa dan menafikan hak mengembara ratusan juta orang semata-mata berdasarkan kewarganegaraan atau agama mereka.
Pegawai kementerian luar itu berkata, larangan itu adalah diskriminasi dan akan “membawa tanggungjawab antarabangsa terhadap Kerajaan AS”.
Iran dan AS memutuskan hubungan diplomatik sejurus selepas Revolusi Islam 1979, dan hubungan terus tegang sejak itu.
Amerika Syarikat adalah rumah kepada komuniti Iran terbesar di luar negara ini.
Menurut angka dari Kementerian Luar Tehran, pada 2020 terdapat kira-kira 1.5 juta rakyat Iran di Amerika Syarikat.
Rabu lalu, Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menyekat perjalanan penggal pertamanya, atas alasan keselamatan negara berikutan serangan bom api pada perhimpunan pro-Israel di Colorado.
Kejadian itu mencederakan lebih 12 orang dan suspek adalah seorang lelaki Mesir yang telah tinggal lebih masa menggunakan visa pelancong. – Agensi
















