KUALA LUMPUR – Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan masyarakat supaya tidak membasuh najis dan organ dalaman haiwan korban di dalam sungai ketika menjalankan ibadah korban.
Menerusi hantaran di laman Facebook, PHM berkata, perut dan usus haiwan korban tidak boleh dibasuh di sungai kerana ia berisiko mencemarkan sungai.
Sebaliknya jelasnya, pembuangan dan pengendalian organ haiwan sepatutnya dibuat dalam jarak sekurang-kurangnya 50 hingga 100 meter dari sungai, longkang atau sumber air awam.
“Setiap kali tibanya musim korban, amalan ibadah ini membuka ruang untuk kita berbuat baik, bukan saja kepada sesama manusia, tetapi juga kepada alam sekitar.
“Namun sayangnya, masih berlaku perbuatan membasuh najis dan perut lembu terus ke dalam sungai. Niat mahu membersih, tapi tindakan ini membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan,” kata PHM.
Selain itu katanya, pengendali perlu menggunakan lubang atau tong untuk membuang najis selain menyediakan plastik hitam yang boleh dihantar ke tapak pelupusan.
“Sisa haiwan ditanam dalam lubang dalam, jauh dari sungai dan rumah. Jangan biarkan sisa terbuka atau dimakan haiwan liar.
“Sungai itu hidup. Ia bukan tong sampah. Dan setiap air yang mengalir akan sampai ke tubuh manusia juga, kita sendiri atau anak kita nanti,” katanya.
Sejak semalam, tular video ada yang mencuci organ dan membuang najis haiwan korban sempena Aidiladha di sungai.
Tindakan berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet. – MalaysiaGazette
















